Penemuan ‘Kubur Paus’ Berusia 5 Juta Tahun Gemparkan Dunia Sains
SAMUDERA HINDIA – Penemuan luar biasa sebuah “kubur paus” gergasi di dasar Samudera Hindi membuka lembaran baharu dalam kajian evolusi hidupan laut, apabila para saintis menemui ratusan fosil dan bangkai paus di kawasan yang dipercayai berusia sehingga 5.3 juta tahun.
Tapak berkenaan ditemui di Zon Retakan Diamantina, satu kawasan dasar laut yang dipenuhi rabung serta jurang dalam dengan kedalaman mencecah 7,000 meter dan merentangi lebih 1,200 kilometer.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, lokasi itu dipercayai merupakan kawasan pengumpulan fosil dan bangkai paus terbesar, terdalam serta tertua pernah direkodkan di dunia.
Pasukan penyelidik antarabangsa melaporkan penemuan lebih 480 lokasi yang mengandungi fosil serta bangkai paus hasil 32 misi penyelaman menggunakan kapal selam penyelidikan khas yang dijalankan sepanjang tahun 2023.
Antara penemuan utama termasuk tengkorak paus purba yang dianggarkan berusia sekitar 5.3 juta tahun, selain rangka lengkap beberapa spesies paus yang telah pupus.
Para penyelidik turut menemui bangkai paus minke Antartika sepanjang kira-kira lima meter yang dikategorikan sebagai antara penemuan bangkai paus moden paling besar di kawasan tersebut.
Dalam perkembangan sama, saintis berjaya mengenal pasti satu spesies paus baharu yang sebelum ini tidak pernah direkodkan, lalu menamakannya sebagai Pterocetus diamantinae sempena lokasi penemuannya.
Penemuan itu bukan sahaja penting dari sudut paleontologi, malah memberikan gambaran lebih jelas mengenai ekosistem laut dalam yang bergantung kepada fenomena dikenali sebagai whale fall iaitu bangkai paus yang tenggelam ke dasar laut dan menjadi sumber nutrien utama kepada pelbagai organisma.
Kawasan tersebut didapati menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan laut dalam termasuk ubur-ubur, krustasea, cacing pemakan tulang serta beberapa organisma yang dipercayai belum pernah direkodkan dalam dunia sains.
Menurut ketua penyelidik dari Akademi Sains China, Xiaotong Peng, pasukan kajian tidak menjangkakan penemuan berskala sebegitu besar kerana keluasan, kedalaman dan usia tapak tersebut jauh melebihi jangkaan awal.
Beliau menyifatkan penemuan berkenaan sebagai antara yang paling signifikan dalam kajian mamalia marin dan ekosistem laut dalam.
Pakar-pakar turut berpendapat penemuan itu berpotensi mengubah pemahaman saintifik mengenai evolusi paus, corak penghijrahan spesies purba serta perkembangan biodiversiti di dasar lautan.
Walaupun lokasi berkenaan sukar diakses, para saintis percaya masih banyak rahsia yang belum diterokai, termasuk kemungkinan kewujudan spesies baharu dan rekod evolusi hidupan laut yang masih tersembunyi di dasar Samudera Hindi.
Sehubungan itu, beberapa ekspedisi lanjutan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meneroka kawasan tersebut dengan lebih mendalam menggunakan teknologi penyelaman laut dalam yang lebih canggih.
