NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

UNHCR Rekod 215,600 Pelarian Di Malaysia Setakat Februari, Rohingya Tertinggi

KUALA LUMPUR – Seramai 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat Februari lalu.

Berdasarkan data yang diterbitkan oleh UNHCR Malaysia, majoriti daripada jumlah tersebut terdiri daripada warga Myanmar, dengan etnik Rohingya mencatatkan angka tertinggi seramai 193,824 orang.

Selain itu, seramai 15,774 pelarian daripada etnik Chin dan 33,002 individu daripada pelbagai kumpulan etnik lain dari Myanmar turut direkodkan berada di negara ini selepas melarikan diri akibat konflik serta penganiayaan di negara asal.

UNHCR turut merekodkan seramai 21,776 pelarian dan pencari suaka dari lebih 50 negara lain yang berdepan peperangan, konflik serta penindasan.

Antara kumpulan terbesar ialah warga Pakistan seramai 5,760 orang, diikuti Yaman (3,193), Somalia (2,945), Afghanistan (2,931), Syria (2,471), Sri Lanka (1,043), Palestin (514) dan Iraq (420).

Daripada keseluruhan jumlah pelarian dan pencari suaka yang berdaftar, 46 peratus merupakan lelaki manakala 24 peratus adalah wanita.

Data sama turut menunjukkan terdapat kira-kira 64,680 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dalam kalangan pelarian dan pencari suaka yang berada di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, UNHCR memaklumkan Malaysia sedang memperkukuh pendekatan terhadap pengurusan perpindahan paksa menerusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang diperkenalkan kerajaan pada Januari lalu.

Menurut agensi itu, inisiatif berkenaan merupakan langkah penting ke arah mewujudkan sistem perlindungan yang lebih tersusun, telus dan diuruskan secara nasional bagi individu yang terpaksa meninggalkan negara asal mereka.

UNHCR berkata, pihaknya terus memainkan peranan membantu kerajaan dalam proses pengenalpastian serta pendaftaran pelarian dan pencari suaka, selain menyokong pembangunan prosedur suaka yang lebih adil dan mudah diakses.

“Bersama rakan kongsi serta organisasi masyarakat sivil di Malaysia, UNHCR mengenal pasti individu yang melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan serta menilai keperluan perlindungan mereka.

“Pendaftaran dan pendokumentasian yang sistematik penting bagi membolehkan akses kepada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan, selain membantu pihak berkuasa memahami profil serta keperluan pelarian dengan lebih tepat,” menurut kenyataan itu.

UNHCR turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam usaha membangunkan sistem suaka kebangsaan yang lebih berkesan.

Menurutnya, selaras dengan pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), pihaknya akan terus menawarkan sokongan teknikal, perkongsian kepakaran dan kerjasama berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan terbaik dari negara lain.

Agensi itu turut menekankan bahawa kerjasama berterusan antara kerajaan Malaysia, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi masyarakat sivil dan rakan antarabangsa amat penting bagi memastikan golongan yang melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan terus mendapat perlindungan, di samping mencari penyelesaian yang praktikal dan mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *