NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Malaysia-Jepun Tandatangan 4 Memorandum Kerjasama Bidang Strategik

TOKYO – Malaysia dan Jepun terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian empat Memorandum Kerjasama (MoC) dalam beberapa bidang strategik, termasuk keselamatan maritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan peraturan peranti perubatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua memorandum yang dimeterai mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi masing-masing.

Empat MoC tersebut merangkumi kerjasama dalam bidang keselamatan dan keselamatan maritim, kelestarian alam sekitar, pengurusan sisa pepejal serta pembangunan rangka kerja kawal selia bagi peranti perubatan.

“Kita telah memeterai empat Memorandum Kerjasama yang telah diumumkan dan saya percaya sudah tiba masanya untuk memastikan setiap perjanjian ini diterjemahkan kepada tindakan serta pelaksanaan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini pada Selasa.

Selain pemeteraian memorandum tersebut, Malaysia dan Jepun turut bertukar dua Surat Hasrat (LOI) yang melibatkan kerjasama dalam bidang keselamatan dan peralihan tenaga, selain memperkukuh hubungan akademik menerusi kerjasama antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam perkembangan sama, Anwar merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Jepun dalam pelbagai isu serantau, termasuk ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN.

Menurut beliau, kedua-dua negara turut membincangkan perkembangan semasa di Myanmar serta usaha berterusan untuk menggalakkan negara itu kembali memainkan peranan yang lebih aktif dalam ASEAN.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Jepun bagi menyokong usaha tersebut, terutama susulan beberapa perkembangan positif yang dilihat berlaku di negara berkenaan.

“Malaysia menghargai sokongan Jepun terhadap pelbagai inisiatif serantau dan kita akan terus bekerjasama dalam menangani cabaran yang dihadapi rantau ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap visi Jepun mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sebagai satu pendekatan penting dalam memastikan kestabilan, keselamatan dan kemakmuran serantau terus diperkukuhkan.

Pemeteraian memorandum dan pertukaran surat hasrat itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperluaskan kerjasama strategik Malaysia-Jepun, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *