ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Kempen Internet Selamat MCMC Libatkan 500 Sekolah Di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 500 sekolah rendah dan menengah di Terengganu telah menyertai Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tahun lalu sebagai usaha memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan pelajar.

Pengarah MCMC Terengganu, Abdul Mubin Mohd Zain berkata, program tersebut bertujuan mendidik pelajar mengenai penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab, selain memberi pendedahan terhadap pelbagai ancaman siber yang semakin membimbangkan.

Menurut beliau, kempen berkenaan merangkumi penerangan berkaitan risiko penyalahgunaan media sosial termasuk buli siber, penipuan dalam talian serta eksploitasi kanak-kanak di platform digital.

“Sepanjang tahun lalu, sasaran untuk melibatkan 500 sekolah di seluruh Terengganu berjaya dicapai menerusi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang dijalankan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui media di sini.

Beliau berkata, MCMC kini merancang untuk memperluaskan pelaksanaan kempen itu kepada masyarakat umum termasuk golongan belia dan komuniti setempat bagi meningkatkan tahap literasi serta keselamatan siber dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, langkah tersebut selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna internet melalui pelaksanaan pengesahan umur di media sosial menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Dalam perkembangan lain, Abdul Mubin memaklumkan bahawa Op Siber yang dilaksanakan dari Disember 2024 hingga April 2026 merekodkan tiga operasi penguatkuasaan dengan 17 individu ditahan.

Katanya, operasi berkenaan turut menyaksikan rampasan lebih 200 peranti termasuk telefon bimbit dan modem yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan ruang siber.

“Data yang diperoleh setakat ini melibatkan keseluruhan negara dan pihak kami sedang mendapatkan pecahan statistik mengikut negeri bagi membantu usaha membendung penyalahgunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah 16 tahun di Terengganu,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *