Azam Baki Nafi Tuduhan Jadi Orang Tengah Tutup Skandal Rasuah Politik Di Sabah
SHAH ALAM – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendakwa kenyataan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Albert Tei, telah memberi gambaran seolah-olah beliau menjadi dalang dalam usaha melindungi pihak tertentu daripada siasatan berkaitan skandal rasuah di Sabah.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, Azam selaku plaintif mendakwa Albert Tei, yang dinamakan sebagai defendan tunggal, telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bersifat fitnah dan menjejaskan reputasinya.
Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah tuduhan bahawa Azam bertindak sebagai orang tengah untuk mengatur penyelesaian bagi menutup skandal rasuah yang dikaitkan dengan beberapa ahli politik di Sabah.
Plaintif turut mendakwa defendan menuduh beliau menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mengatur keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) bagi melindungi individu tertentu daripada tindakan undang-undang.
Selain itu, Azam berkata beliau turut dituduh mengugut untuk menangkap Albert sekiranya ahli perniagaan tersebut meneruskan pendedahan berhubung dakwaan skandal berkenaan.
Menurut Azam, semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak benar, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat bagi mencemarkan nama baik, maruah serta kredibilitinya sebagai penjawat awam.
Beliau turut menjelaskan bahawa pertemuan dengan peguam Albert pada 20 Januari 2025 bukan bertujuan seperti yang didakwa, sebaliknya hanya untuk menerangkan bahawa Albert tidak layak diberikan perlindungan di bawah status pemberi maklumat kerana ketika itu masih berstatus suspek dalam siasatan rasuah.
“Penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut telah menjejaskan reputasi, maruah dan kredibiliti saya.
“Ia juga mendedahkan saya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan masyarakat,” katanya dalam dokumen mahkamah.
Pada Isnin lalu, Azam memfailkan saman fitnah terhadap Albert menerusi firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad berhubung beberapa kenyataan yang didakwa diterbitkan menerusi audio siar dan video pendek di platform YouTube pada bulan lalu.
Dalam tuntutannya, beliau memohon mahkamah mengarahkan defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan.
Beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Albert daripada terus menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah selain menuntut semua kandungan berkaitan diturunkan daripada platform media sosial.
Azam juga memohon supaya defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan membuat pengisytiharan bahawa kenyataan yang diterbitkan itu adalah tidak benar.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 8 Julai depan untuk pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Hidayah Abd Mutalib.
Untuk rekod, pada 4 Disember 2025, Albert mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin antara tahun 2023 dan 2024.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memberikan wang tunai RM140,000 serta perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 sebagai dorongan bagi membantu syarikatnya memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian apabila timbul dakwaan berkaitan pemberian rasuah bagi mendapatkan semula wang yang didakwa disalurkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
