NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Albert Tei Sedia Dedah Skandal Rasuah Sabah Jika Disaman Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa bersedia mendedahkan maklumat berkaitan dakwaan skandal rasuah yang melibatkan beberapa ahli politik di Sabah sekiranya saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diteruskan di mahkamah.

Albert, atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, berkata sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang dokumen saman walaupun perkara itu telah dilaporkan secara meluas oleh media sejak minggu lalu.

Sehubungan itu, beliau mencabar Azam supaya menyegerakan proses penyampaian saman tersebut agar perkara berkenaan dapat dibicarakan di mahkamah.

Menurut ahli perniagaan berusia 38 tahun itu, beliau bukan sahaja bersedia mempertahankan diri, malah akan menjelaskan secara terbuka segala isu yang dibangkitkan sepanjang prosiding berlangsung.

“Saya mengalu-alukan saman tersebut dan menantikannya kerana sebelum ini dimaklumkan tindakan undang-undang itu akan difailkan pada Rabu lalu.

“Jangan nanti timbul alasan seperti salah alamat atau masalah penghantaran. Jadi, di manakah saman itu?” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa selepas prosiding sebutan kes rasuah yang dihadapinya.

Pada Isnin lalu, Azam dilaporkan telah memfailkan saman fitnah terhadap Albert di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kenyataan yang didakwa diterbitkan menerusi media sosial dan platform dalam talian.

Dalam perkembangan sama, Albert turut mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadap beberapa akaun media sosial miliknya.

Menurut beliau, sebuah video yang dimuat naik di Facebook dan meraih kira-kira 500,000 tontonan telah diturunkan, manakala akaun TikTok keduanya pula disekat.

Beliau berkata, bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu, beliau hadir ke pejabat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Jumaat lalu.

“Saya ingin mengetahui apakah kesalahan yang telah saya lakukan sehingga akaun media sosial saya disekat tanpa sebarang notis atau amaran.

“Jika benar saya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah atau hasutan, sila siasat, tangkap dan dakwa saya di mahkamah.

“Biarlah mahkamah yang menentukan sama ada saya bersalah atau sebaliknya,” katanya.

Pada 4 Disember 2025, Albert mengaku tidak bersalah di mahkamah atas empat pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin antara tahun 2023 dan 2024.

Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa memberikan wang tunai sebanyak RM140,000 serta kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan untuk membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri bagi mendapatkan semula wang yang didakwa disalurkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *