NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Komuniti Rohingya Bina ‘Flat’ Di Sungai Tekali

KUALA LUMPUR – Sebuah penempatan bertingkat yang didakwa dibina tanpa kebenaran di kawasan terpencil Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor menjadi perhatian selepas video mengenainya tular di media sosial.

Perkara itu didedahkan oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau lebih dikenali sebagai Pak Azad, yang secara kebetulan menemui lokasi berkenaan sebelum merakam keadaan bangunan yang dianggap luar biasa dan mencurigakan.

Rakaman video tersebut memaparkan sebuah struktur menyerupai flat empat tingkat yang dibina di kawasan berbukit, lengkap dengan koridor berbumbung zink, dinding bata yang kelihatan belum disiapkan sepenuhnya serta sambungan paip air dan pendawaian elektrik yang menimbulkan persoalan.

Azad berkata, rakaman itu dibuat secara tidak sengaja ketika beliau dalam perjalanan ke lokasi penggambaran klip lagu Aidilfitri di Hulu Langat sebelum Ramadan lalu.

Menurutnya, beliau bersama pembantu peribadi tersalah jalan selepas terlepas simpang sebelum mengambil laluan alternatif dan menemui penempatan tersebut.

“Saya dan pembantu peribadi agak terkejut kerana tidak pernah melihat struktur seperti itu sebelum ini.

“Pada mulanya saya menyangka ia mungkin kawasan penempatan golongan berpendapatan rendah, namun apabila melihat dengan lebih dekat, reka bentuk dan keadaan binaannya kelihatan agak luar biasa.

“Bangunan itu seolah-olah dibina secara berperingkat oleh penghuni sendiri. Disebabkan itu saya mengambil keputusan merakam video berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Azad, ketika berada di lokasi beliau turut melihat beberapa individu yang dipercayai menetap di kawasan tersebut sebelum meneruskan perjalanan kerana perlu menghadiri urusan penggambaran.

Beliau berkata, keadaan fizikal bangunan itu menimbulkan pelbagai persoalan terutama dari aspek keselamatan kerana struktur binaannya dilihat tidak sempurna selain terdapat sambungan utiliti yang kelihatan meragukan.

“Saya turut mendapatkan pandangan beberapa kenalan yang mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina dan mereka juga berpendapat struktur itu wajar diberi perhatian.

“Persoalan utama ialah sama ada bangunan tersebut dibina mengikut kelulusan pihak berkuasa atau sebaliknya, kerana aspek keselamatan penghuni perlu diambil kira,” katanya.

Azad menjelaskan video itu pada asalnya dimuat naik menerusi Instagram Story miliknya sebelum dikongsi semula oleh pengguna media sosial dan menjadi tular baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak mahu membuat sebarang tuduhan atau spekulasi mengenai status sebenar penempatan tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak pergi ke situ dengan tujuan mendedahkan apa-apa. Saya hanya kebetulan melalui kawasan tersebut selepas tersalah jalan.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan, saya percaya pihak berkuasa mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *