NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Pasport Malaysia Sah Laku 10 Tahun Pada Harga RM350

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia bakal menikmati kemudahan pasport dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun pada kadar bayaran RM350, berbanding tempoh lima tahun yang ditawarkan ketika ini.

Perkara tersebut diperuntukkan menerusi Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan pada Rabu.

Berdasarkan warta yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, warga emas berusia 60 tahun ke atas akan dikenakan bayaran RM175 bagi mendapatkan pasport berkenaan.

Sementara itu, orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 layak memperoleh pasport tersebut secara percuma.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen Malaysia masih belum mengumumkan tarikh rasmi pelaksanaan permohonan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun itu.

Ketika ini, fi pasport Malaysia bagi tempoh sah laku lima tahun ditetapkan pada RM200 untuk orang awam, manakala warga emas dikenakan bayaran RM100.

Pada masa sama, pindaan tersebut turut menetapkan kadar baharu bagi penggantian pasport yang hilang atau rosak.

Bagi warganegara berumur antara 13 hingga 59 tahun, bayaran penggantian pertama ditetapkan sebanyak RM550 berbanding RM400 sebelum ini. Penggantian kali kedua pula dikenakan RM850, manakala penggantian ketiga dan seterusnya RM1,350.

Bagi golongan warga emas, fi penggantian pertama ditetapkan pada RM375, penggantian kedua RM675 dan penggantian berikutnya RM1,175.

Sementara itu, pemegang kad OKU akan dikenakan bayaran RM200 bagi penggantian pertama, RM500 untuk kali kedua dan RM1,000 bagi setiap penggantian seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *