Senarai Calon BN Adalah Palsu – MB Johor
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan kesahihan satu senarai yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp yang didakwa memaparkan calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau menegaskan senarai berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana saluran rasmi parti.
Sehubungan itu, Onn Hafiz menyeru semua parti politik, pemimpin serta penyokong agar mengamalkan budaya politik yang matang, beretika dan bertanggungjawab sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
“Marilah kita berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab.
“Jangan benarkan berita palsu, fitnah serta khabar angin menjejaskan keharmonian, kestabilan dan proses demokrasi di negeri Johor yang kita sayangi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, sebarang pengumuman berkaitan calon BN yang akan bertanding dalam PRN Johor hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi parti.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Johor supaya mengamalkan sikap tabayyun dengan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.
Katanya, suasana menjelang pilihan raya sering menjadi medan kepada penyebaran pelbagai bentuk fitnah, provokasi dan berita tidak sahih yang bertujuan mengelirukan rakyat.
“Dapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan rasmi bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Terdahulu, tular satu senarai yang didakwa mengandungi nama calon BN bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, termasuk nama penyandang kerusi DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
DUN Johor telah dibubarkan pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16.
Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas meraih kemenangan besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
