NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Sindiket Penipuan Dalam Talian Antarabangsa Jadikan Malaysia Pangkalan Baharu

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang sebelum ini beroperasi di Myanmar, Laos dan Kemboja dipercayai telah memindahkan pusat operasi mereka ke Malaysia bagi mengelak tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Pendedahan itu dibuat Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, yang mendakwa sindiket berkenaan kini menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi baharu susulan tekanan dan operasi besar-besaran yang dijalankan pihak berkuasa antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Menurut beliau, hasil maklumat awal yang diperoleh MHO mendapati sekurang-kurangnya dua lokasi strategik di Malaysia dikenal pasti sebagai pusat operasi utama sindiket terbabit.

“Sindiket ini dipercayai telah memindahkan operasi mereka ke Malaysia dan bergerak secara rahsia di lokasi berkenaan sejak lebih enam bulan lalu.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana Malaysia kini berisiko menjadi lokasi perlindungan baharu bagi sindiket scam antarabangsa, sedangkan selama ini kita berusaha membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap di Myanmar dan Kemboja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memilih untuk mendedahkan perkara itu lebih awal bagi mengelakkan imej negara tercalar sekiranya kegiatan berkenaan didedahkan terlebih dahulu oleh pihak luar atau agensi antarabangsa.

“Adalah lebih baik kita sendiri mengambil langkah proaktif membongkar perkara ini sebelum ia menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hishamuddin turut memaklumkan bahawa MHO akan menyerahkan maklumat lengkap berhubung lokasi dan aktiviti sindiket terbabit kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan premis mencurigakan, penempatan yang disyaki menjadi pusat operasi scam atau aktiviti pengambilan pekerja yang meragukan supaya tampil membantu siasatan.

“MHO menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti dan keselamatan pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *