NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Enggan Ikut Prinsip Rukun Negara Tak Layak Digelar Warga Malaysia – Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa mana-mana individu yang enggan mematuhi dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara tidak layak dianggap sebagai warganegara Malaysia.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 merupakan aku janji serta ikrar seluruh rakyat Malaysia untuk memulihkan perpaduan kaum dan memastikan keharmonian negara terus terpelihara selepas peristiwa hitam yang pernah melanda negara.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak supaya benar-benar menghayati setiap prinsip Rukun Negara serta menjadikannya amalan dan panduan dalam kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

“Sekiranya ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, saya berpendapat bahawa mereka tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta perwakilan asing.

Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa setiap rakyat Malaysia perlu terus memupuk semangat perpaduan, bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain dengan berlandaskan prinsip Rukun Negara.

Menurut Baginda, perpaduan merupakan asas utama kepada kekuatan negara yang menjadi pemangkin kepada kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kemajuan ekonomi.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menyeru rakyat agar mengambil iktibar daripada sejarah, khususnya tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang tercetus akibat sikap melampau, penghinaan terhadap pihak lain dan hilangnya rasa hormat terhadap bangsa serta kedaulatan negara.

“Peristiwa itu telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah Baginda.

Istiadat pengurniaan tahun ini merupakan kali ketiga disempurnakan oleh Sultan Ibrahim sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *