Penamatan Tayangan Filem Konspirasi Atas Permintaan Penerbit – FINAS
KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan keputusan menghentikan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara dibuat atas permintaan pihak penerbit sendiri dan bukan disebabkan arahan daripada mana-mana pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan hari ini, FINAS memaklumkan pengesahan itu diperoleh hasil semakan bersama Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad yang bertindak sebagai pengedar filem berkenaan.
Menurut FINAS, berdasarkan emel yang diterima dan dikongsikan kepada pihaknya, syarikat penerbit, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd., telah mengarahkan supaya tayangan Konspirasi dihentikan bermula 28 Mei.
“Semakan yang dijalankan bersama pihak pengedar dan pempamer mendapati penamatan tayangan filem ini dibuat atas permintaan penerbit sendiri serta tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
FINAS turut menjelaskan bahawa filem berkenaan sebelum ini telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diluluskan untuk tayangan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.
Konspirasi mula ditayangkan di 120 skrin pawagam seluruh negara pada 21 Mei.
Bagaimanapun, FINAS memaklumkan pihaknya masih belum menerima penjelasan terperinci daripada penerbit berhubung keputusan menghentikan tayangan filem tersebut walaupun beberapa usaha telah dilakukan untuk mendapatkan maklum balas.
“FINAS akan terus berhubung dengan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment bersama Asia Tropical Films.
Konspirasi mengetengahkan kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdepan cabaran dan risiko tinggi dalam usaha membanteras rangkaian rasuah serta kebocoran maklumat sulit.
