Laluan Ampang, Sri Petaling Alami Gangguan Akibat Tren Tergelincir
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan hari ini selepas sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan insiden itu dipercayai berpunca daripada kerosakan pada suis landasan, menyebabkan tren terbabit tidak dapat meneruskan perjalanan dan menjejaskan operasi di laluan berkenaan.
Menurut kenyataan syarikat itu, seramai 25 penumpang yang berada di dalam tren berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pasukan teknikal kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembaikan untuk memulihkan semula operasi perkhidmatan,” katanya hari ini.
Bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pengguna, beberapa perkhidmatan alternatif turut diaktifkan termasuk tren dari Sentul Timur yang berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit.
Selain itu, perkhidmatan tren perantara turut disediakan antara Stesen Cheras dan Bandar Tasik Selatan di platform 1 dengan kekerapan lapan minit, serta antara Stesen Ampang dan Pandan Jaya di platform sama dengan kekerapan lima minit.
Rapid Rail turut memaklumkan tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan setiap empat minit, selain bas perantara percuma disediakan antara Stesen Pudu, Cheras dan Pandan Jaya bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.
“Penumpang yang ingin ke pusat bandar disarankan menggunakan Laluan Putrajaya dengan pertukaran tren di Stesen Sungai Besi,” menurut kenyataan itu.
Pengguna juga diminta mendapatkan bantuan daripada petugas stesen sepanjang tempoh gangguan, manakala maklumat terkini boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan penumpang terpaksa berjalan di atas trek selepas diarahkan keluar dari tren bagi tujuan pemindahan.
