NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Harga Runcit RON95, RON97, Diesel Turun

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 15 sen dan 20 sen seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia turun 10 sen seliter bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga baharu RON95 ditetapkan pada RM3.92 seliter berbanding RM4.07 sebelum ini, manakala RON97 turun kepada RM4.65 seliter daripada RM4.85.

Harga diesel di Semenanjung pula diturunkan kepada RM4.87 seliter berbanding RM4.97 sebelum ini.

Menurut MOF, penurunan harga itu dibuat selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) susulan penyusutan purata harga pasaran minyak global pada minggu lalu.

Bagaimanapun, kementerian menjelaskan keadaan pasaran petroleum dunia masih belum stabil berikutan konflik berpanjangan di Asia Barat yang kini memasuki minggu ke-12.

“Selain itu, kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan tempoh yang panjang untuk dipulihkan,” menurut kenyataan itu.

MOF turut memaklumkan harga bersubsidi kekal bagi RON95 menerusi program BUDI95 pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi pula, harga masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menurut kementerian itu, lebih 14 juta penerima layak terus menikmati subsidi RON95 menerusi BUDI95 dengan lebih 90 peratus penggunaan bahan api berkenaan melibatkan golongan penerima subsidi.

“Pada harga semasa RON95 tanpa subsidi iaitu RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter mencecah RM784. Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung subsidi sebanyak RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

“Dengan had kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima hanya perlu membayar RM398 sebulan untuk penggunaan penuh,” katanya.

MOF menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan subsidi bersasar bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup di samping memastikan pengurusan fiskal negara kekal mampan.

Pada masa sama, orang ramai disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah termasuk merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan tidak perlu susulan ketidaktentuan pasaran global ketika ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *