Jemaah Haji Malaysia Ke-10 Meninggal Dunia Di Makkah – TH
MAKKAH – Seorang jemaah haji wanita dari Parit Jawa, Johor meninggal dunia di Tanah Suci akibat pendarahan otak, menjadikannya jemaah Malaysia ke-10 yang dilaporkan meninggal dunia bagi musim haji tahun ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan, jemaah berusia 52 tahun itu hadir menunaikan ibadah haji secara bersendirian dan merupakan ahli kumpulan KT08 yang menginap di Hotel Rehab Al-Janadriyah.
Menurut TH, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Shefaa pada jam 5 pagi semalam akibat pendarahan otak.
“Jenazah kemudian dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas Zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharai, Makkah,” menurut kenyataan itu.
TH turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman.
