8 Negara Kecam Menteri Israel Berhubung Layanan Terhadap Tahanan Flotila
ISTANBUL – Lapan negara termasuk Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengecam tindakan Menteri Israel, Itamar Ben-Gvir terhadap peserta flotila kemanusiaan yang ditahan Israel.
Menerusi satu kenyataan bersama pada Ahad, menteri luar negara terbabit menyifatkan layanan terhadap tahanan flotila sebagai “mengerikan, menghina dan tidak boleh diterima”.
Menurut kenyataan itu, tindakan Ben-Gvir yang didakwa mengaibkan tahanan secara terbuka disifatkan sebagai satu serangan terhadap maruah manusia selain melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia.
Mereka turut mengecam kenyataan berunsur hasutan dan tindakan keganasan yang didakwa dilakukan Ben-Gvir serta beberapa pegawai Israel lain terhadap rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki.
“Mereka memberi amaran bahawa tindakan provokatif seperti ini hanya akan menyemarakkan kebencian dan ekstremisme selain menjejaskan usaha mewujudkan keamanan yang adil serta berkekalan menerusi penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.
Negara-negara berkenaan turut menggesa supaya tindakan diambil terhadap Ben-Gvir serta mendesak langkah konkrit dilaksanakan bagi menghentikan provokasi dan pelanggaran berulang.
Kenyataan sama turut menekankan kepentingan melindungi hak asasi manusia, memastikan semua tahanan dilayan secara berperikemanusiaan dan bermaruah serta menegakkan undang-undang antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki.
