Malaysia Terus Beri Tekanan Kepada Israel Melalui Diplomatik, Mahkamah Antarabangsa
SEPANG – Malaysia menegaskan tidak akan berdiam diri selepas delegasi yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 didakwa berdepan tekanan psikologi, ugutan serta serangan fizikal ketika menjalankan misi bantuan ke Gaza.
Ketua Delegasi GSF 2.0, Amirudin Shari berkata, pasukan peguam kini sedang mengumpulkan dokumen dan bukti berkaitan dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa untuk dibawa ke mahkamah antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia juga akan terus memperhebat tekanan diplomatik selain memperluaskan kempen solidariti Palestin di seluruh negara.
“Kita akan turun ke seluruh negara membawa suara perjuangan Gaza kerana ini merupakan isu kemanusiaan terbesar abad ini.
“Terdapat pihak tertentu cuba menyebarkan maklumat palsu serta menyerang delegasi misi bagi melemahkan gerakan solidariti Palestin,” katanya ketika berucap pada sambutan kepulangan delegasi Malaysia GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Seramai 28 delegasi Malaysia yang sebelum ini ditahan pihak Israel selamat tiba di tanah air selepas berlepas dari Istanbul, Turkiye dan transit di Dubai menggunakan pesawat Emirates Airlines.
Mereka bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada Sabtu malam sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia melalui Emiriah Arab Bersatu.
Bagaimanapun, seorang delegasi Malaysia, Razman Mat Ali, 38, tidak dapat pulang bersama rombongan kerana masih menerima rawatan di hospital di Istanbul selepas mengalami kecederaan paru-paru bocor akibat didakwa dipukul tentera Israel.
Menurut Amirudin, perjuangan GSF 2.0 tidak akan terhenti setakat misi pelayaran bantuan kemanusiaan sahaja, sebaliknya akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif antarabangsa termasuk persidangan dan tindakan perundangan.
“Kita tidak akan berhenti di sini. Misi GSF 2.0 mungkin sudah selesai, tetapi perjuangan membebaskan Gaza mesti diteruskan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pasukan misi kini hampir menyelesaikan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza selain usaha menghantar delegasi melalui laluan laut dan darat termasuk pintu sempadan Rafah.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Malaysia juga merancang untuk menganjurkan persidangan berkaitan perjuangan Palestin dengan sokongan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Katanya, rakyat Malaysia wajar berbangga dengan pengorbanan delegasi misi yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang sanggup mempertaruhkan masa, tenaga serta nyawa demi perjuangan kemanusiaan sejagat.
