JPJ Tangguh Sementara Urusan Tukar Hak Milik Kenderaan Dalam Talian
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengumumkan penangguhan sementara semua urusan Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa hari ini.
Penangguhan itu melibatkan semua platform digital termasuk portal awam, kiosk serta rakan strategik JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan laporan di media sosial berkaitan pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
“JPJ memandang serius isu ini terutama yang melibatkan aspek keselamatan serta penyelenggaraan rekod pendaftaran kenderaan dalam sistem jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bermula 25 Mei, semua urusan THM bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat perlu dilakukan secara fizikal di kaunter pejabat JPJ di seluruh negara.
Bagi kategori persendirian individu, urusan pertukaran hak milik boleh diselesaikan pada hari sama di semua pejabat negeri dan cawangan JPJ.
Sementara itu, bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja selepas dokumen lengkap diserahkan.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata hanya urusan Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) melalui penyedia perkhidmatan eAuto masih diteruskan seperti biasa.
Bagaimanapun, sistem pertukaran hak milik kekal menerusi eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan buat sementara waktu dan sebarang permohonan perlu dilakukan di pejabat JPJ.
“Mana-mana pihak termasuk syarikat jualan kenderaan terpakai yang ingin melaksanakan urusan berkenaan perlu hadir ke pejabat JPJ negeri atau cawangan,” katanya.
Beliau menegaskan JPJ akan terus memperkukuh pengurusan dan kawalan rekod pendaftaran kenderaan demi memastikan keselamatan data pemilik serta integriti sistem penyampaian perkhidmatan jabatan sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat serta rekod kenderaan masing-masing dengan JPJ.
