Bapa Zayn Rayyan Sebak Peroleh Hak Jagaan Anak Tanpa Syarat
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan hak penjagaan adik kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, diserahkan sepenuhnya kepada bapa kandungnya tanpa sebarang syarat tambahan atau bon.
Zaim Ikhwan Zahari, 31, dilihat tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata selepas Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim membenarkan rayuan yang dikemukakannya bagi mengetepikan 14 syarat serta bon yang sebelum ini dikenakan oleh Mahkamah Majistret pada 21 November 2025.
Dalam penghakimannya, Suriyati Hasimah berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti keseluruhan dokumen serta hujahan bertulis dan lisan daripada kedua-dua pihak.
“Perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 21 November 2025 diketepikan sepenuhnya termasuk bon RM2,000 dan syarat tambahan yang dikenakan bagi tempoh tiga tahun,” katanya.
Mahkamah turut memaklumkan pihak responden mempunyai hak untuk memfailkan rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan, selain alasan penghakiman akan disediakan bagi tujuan itu.
Pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aida Mat Rifin.
Sebelum ini, pada 21 November 2025, Mahkamah Majistret memerintahkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipulangkan kepada bapanya selepas 18 bulan berada di bawah jagaan nenek saudara serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun, mahkamah ketika itu menetapkan 14 syarat termasuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa serta menerima pendidikan dan terapi yang bersesuaian dengan keadaannya.
Selain itu, keluarga terbabit turut diarahkan menetap di alamat yang ditetapkan mahkamah dan perlu memaklumkan kepada JKM sekiranya ingin berpindah.
Sementara itu, peguam Lavanesh Haresh Mahadevan berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi hari ini.
Menurut beliau, pihaknya berharap rayuan terhadap hukuman penjara isteri Zaim Ikhwan iaitu Ismanira Abdul Manaf turut mendapat pertimbangan sewajarnya supaya keluarga berkenaan dapat kembali hidup bersama.
Pada 31 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan anak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan sebelum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serta-merta.
Mahkamah turut mengarahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin tempatan berserta cagaran RM3,000.
