NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Kuota RON95 Bakal Dipotong Kepada 150 Liter Sebulan?

Kuota penggunaan bahan api RON95 bulanan di bawah program BUDI95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sebulan, susulan usaha kerajaan memastikan bekalan bahan api domestik kekal terjamin di tengah-tengah krisis bekalan global akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata walaupun tiada garis masa ditetapkan buat masa ini, langkah itu boleh dilaksanakan memandangkan program BUDI95 sudah mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.

“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Fireside Chat bertajuk ‘Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better’ sempena AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026 anjuran AFFIN Group di sini, hari ini.

Kesan Minimum Kepada Majoriti Rakyat

Chin Tong menegaskan, sebarang pengurangan kuota tidak akan memberi kesan besar kepada kebanyakan rakyat, berdasarkan data penggunaan semasa yang dikumpulkan melalui program BUDI95.

“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan,” jelasnya.

Kuota semasa ditetapkan pada 200 liter sebulan, dikurangkan daripada paras sebelumnya iaitu 300 liter.

Lindungi Golongan Rentan, Terutama Penunggang Motosikal

Chin Tong turut menekankan kepentingan melindungi golongan berpendapatan rendah dan penunggang motosikal yang paling terdedah kepada lonjakan harga bahan api.

Menurutnya, penunggang motosikal dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.

Pendekatan ini turut dilihat penting dari sudut kestabilan sosial dan politik negara, khususnya bagi memastikan golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Subsidi Melonjak 10 Kali Ganda

Situasi ini bertambah serius apabila perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api dilaporkan melonjak hampir 10 kali ganda, berikutan kenaikan mendadak harga minyak mentah global ekoran konflik geopolitik di Asia Barat yang memuncak pada akhir Februari lalu.

Namun Chin Tong menjelaskan, fokus utama kerajaan bukan semata-mata untuk mengurangkan beban fiskal, sebaliknya memastikan bekalan bahan api negara dapat dikekalkan untuk tempoh lebih panjang sekiranya ketegangan global terus berlarutan.

“Jika rakyat dapat menerima keperluan untuk mengurangkan penggunaan demi memastikan bekalan berterusan, isu fiskal akhirnya akan dapat ditangani secara tidak langsung,” katanya.

BUDI95 Lebih Daripada Sekadar Subsidi

Chin Tong turut menegaskan bahawa program BUDI95 bukan sekadar mekanisme subsidi bersasar, malah berfungsi sebagai alat pengurusan permintaan yang membantu kerajaan membuat pelarasan subsidi secara lebih tepat mengikut keadaan semasa.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan masih dalam peringkat perancangan mekanisme subsidi diesel bersasar untuk Sabah dan Sarawak, model yang sama seperti yang digunakan untuk BUDI95.

Dalam jangka masa panjang, Chin Tong berkata negara perlu mempercepatkan pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi dan perancangan bandar yang lebih padat bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil secara keseluruhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *