PELABUHAN KLANG – Sebanyak 1,257 kontena mengandungi kira-kira 31,475 tan sisa elektronik (e-waste) dikenal pasti ditinggalkan di Pelabuhan Klang sepanjang 2024 dan 2025, sekali gus mencetuskan operasi penguatkuasaan besar-besaran bagi menangani kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebanyak 647 kontena dengan anggaran berat 16,177 tan berjaya dihantar pulang ke negara asal menerusi operasi bersepadu pelbagai agensi.
Jumlah itu mewakili kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan operasi yang dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa ketiga bermula 1 Oktober lalu hingga 31 Disember ini dengan tumpuan terhadap baki 578 kontena.
Daripada keseluruhan kontena terbabit, sebanyak 770 dikaitkan dengan siasatan polis mengikut undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, manakala 375 dikendalikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan 112 lagi di bawah AKPS.
Operasi penguatkuasaan turut diperluaskan ke luar kawasan pelabuhan bagi mengesan rangkaian penyimpanan, pemprosesan dan perdagangan sisa elektronik yang disyaki beroperasi secara haram.
Dalam satu serbuan di sebuah fasiliti penyimpanan e-waste yang disyaki beroperasi secara haram di Kapar, Selangor, seramai 25 warga asing ditahan. Sisa elektronik yang dirampas dianggarkan bernilai RM3.056 juta.
Menurut Nik Ezanee, kegiatan perdagangan e-waste didorong nilai komersial bahan yang boleh diperoleh daripada peralatan elektronik terpakai, termasuk emas, perak dan paladium.
Beliau menegaskan operasi berkenaan bukan sekadar bertujuan mengeluarkan kontena dari pelabuhan, tetapi turut mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membawa masuk sisa elektronik berkenaan ke Malaysia serta menutup saluran perdagangan haram.









