KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), termasuk yang mendakwa terdapat tunggakan bil telefon atau urusan penguatkuasaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC dan Kementerian Komunikasi tidak pernah membuat panggilan kepada orang ramai berkaitan tunggakan bil telefon kerana urusan bil adalah di bawah tanggungjawab syarikat telekomunikasi masing-masing.
Beliau berkata demikian susulan penahanan 61 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket penipuan, termasuk menyamar sebagai pegawai MCMC dalam operasi polis di Selangor baru-baru ini.
Jangan layan panggilan mencurigakan
Fahmi menasihatkan orang ramai supaya segera menamatkan panggilan sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan dan tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau melakukan transaksi kewangan.
Mangsa atau individu yang menerima panggilan sedemikian turut disaran membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
MCMC dalam kenyataan berasingan turut menasihatkan orang ramai supaya membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum menyerahkan maklumat peribadi atau membuat sebarang pembayaran kepada individu yang mendakwa sebagai pegawai suruhanjaya itu.
Sindiket beralih kepada taktik baharu
Fahmi berkata MCMC sebelum ini berjaya melaksanakan perubahan teknikal bagi menyekat panggilan penyamaran atau spoofing calls.
Namun, sindiket penipuan kini dilaporkan beralih kepada taktik lain termasuk menggunakan aplikasi WhatsApp serta menawarkan pinjaman yang dikaitkan dengan kegiatan perjudian dalam talian.
Dari Februari hingga Ogos 2026, MCMC bersama syarikat telekomunikasi berjaya menyekat 101.66 juta panggilan scam atau spoofing menerusi pelaksanaan inisiatif Inter Operator Spoofing Gateway.
MCMC beri kerjasama kepada polis
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan nama dan identiti pegawainya untuk memperdaya orang ramai.
Suruhanjaya itu turut memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan PDRM dalam siasatan terhadap sindiket berkaitan, termasuk menyalurkan maklumat yang diperlukan.
Orang ramai diingatkan bahawa sebarang tuntutan pembayaran bil telefon perlu disemak terus dengan syarikat telekomunikasi masing-masing dan bukan melalui panggilan yang mendakwa datang daripada MCMC.









