Sungai-Sungai Utama Di Eropah Kian Mengering
BERLIN – Sungai Rhine merekodkan penyusutan paras air ke tahap terendah dalam sejarah di beberapa lokasi di Jerman dan Belanda ketika gelombang haba berterusan melanda Eropah.
Bacaan paras air di Cologne, Jerman dan Lobith, Belanda sepanjang minggu lalu menunjukkan penurunan ketara berbanding rekod terdahulu.
Beberapa sungai utama Eropah yang menjadi laluan penting bagi sektor pengangkutan, industri dan pertanian turut terjejas, termasuk Sungai Danube yang merentasi 10 negara serta Sungai Po di Itali.
Menurut Pusat Pemantauan Kemarau Kesatuan Eropah (EU), keadaan kemarau masih berada pada tahap kritikal di kebanyakan kawasan Eropah dan bertambah buruk di bahagian tengah serta barat rantau itu sejak pertengahan Julai.
Gelombang haba ekstrem dijangka berterusan kira-kira seminggu lagi, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius diramalkan di beberapa negara Eropah Tengah dan Selatan.
Sistem Maklumat Paras Air Rendah Jerman (NIWIS) memaklumkan 44 peratus stesen pengukuran di Sungai Rhine dan 78 peratus stesen di Sungai Danube merekodkan penurunan paras air yang ketara.

Rhine, yang berpunca dari Banjaran Alps di Switzerland sebelum mengalir ke Laut Utara, merupakan antara laluan air paling sibuk di Eropah.
Penyusutan paras air secara mendadak menimbulkan kebimbangan terhadap kesan ekonomi, khususnya susulan keperluan mengehadkan aktiviti pelayaran dan perkapalan.
Minggu lalu, paras air Sungai Danube turut jatuh ke tahap terendah dalam tempoh 30 tahun di beberapa negara termasuk Serbia dan Romania, sehingga menjejaskan operasi loji kuasa nuklear di Hungary.
“Kami berharap ia dapat beroperasi semula secepat mungkin selain mengharapkan hujan yang dapat meredakan cuaca panas dan kemarau teruk ini,” kata Perdana Menteri Hungary, Peter Magyar.
Kemarau di sepanjang Sungai Danube turut menyebabkan gangguan terhadap bekalan elektrik di Serbia dan Romania.
Sungai Po di Itali pula mencatatkan paras air terendah dalam sejarah pada akhir Julai.

Susulan keadaan itu, pihak berkuasa meningkatkan tahap amaran kemarau di seluruh Lembah Po, manakala pakar memberi amaran kemungkinan berlaku gangguan terhadap bekalan air minuman.
Aliran air yang semakin berkurangan di muara Sungai Po turut menyebabkan air masin dari laut memasuki dasar sungai, sekali gus menjejaskan ekosistem dan menimbulkan masalah kepada petani yang bergantung kepada sungai berkenaan untuk pengairan tanaman.
Pada masa sama, penyusutan paras air tasik akibat kemarau berpanjangan dikhuatiri menjejaskan ketersediaan sumber air tawar untuk kegunaan harian.
Perkhidmatan iklim Copernicus memaklumkan kemarau pada 2022 menyumbang kepada peningkatan kebakaran hutan di Eropah, yang menyebabkan pelepasan karbon melebihi paras purata.
Risiko sama kembali meningkat tahun ini susulan keadaan kering dan gelombang haba yang berterusan di rantau berkenaan.
