PASIR MAS: Seramai 12 warga Myanmar ditahan selepas dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah melalui Sungai Golok dengan bantuan sindiket penyeludupan migran yang menawarkan bayaran secara ansuran sehingga RM5,000 seorang.
Menariknya, bayaran itu tidak perlu dilunaskan sebelum perjalanan. Siasatan awal mendapati migran terbabit dibenarkan membayar selepas berjaya memasuki Malaysia dan memperoleh pekerjaan.
Taktik itu dipercayai digunakan sindiket sebagai tarikan kepada warga asing yang mahu memasuki negara ini secara haram.
Ditahan dalam ladang kelapa sawit
Kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kubang Gadong, Pasir Mas, kira-kira jam 8 malam pada Ahad menerusi Op Taring Delta.
Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki warga Thailand berusia 29 tahun yang disyaki bertindak sebagai tekong darat turut ditahan.
Kesemua 12 warga Myanmar yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun.
Pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Tekong terima RM100 bagi setiap PATI
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, siasatan awal mendapati tekong darat terbabit dipercayai menerima bayaran RM100 bagi setiap PATI yang dibawa masuk dari Thailand.
Migran berkenaan dipercayai menyeberangi Sungai Golok sebelum diserahkan kepada pihak pengangkutan di sekitar Kampung Bakong untuk meneruskan perjalanan.
Perjalanan mereka dari Myanmar ke Malaysia dipercayai mengambil masa kira-kira tujuh hari, melalui jalan darat ke Thailand sebelum memasuki negara ini menerusi laluan sempadan tidak sah.
PGA percaya kewujudan pihak pengangkutan di Kampung Bakong menunjukkan kemungkinan terdapat rangkaian lebih besar yang menguruskan pergerakan migran selepas mereka berjaya melepasi sempadan.
Tekong cuba larikan diri dengan parang dan sabit
Ketika operasi dijalankan, dua lelaki yang disyaki tekong dilaporkan menghampiri anggota PGA sambil membawa parang dan sabit.
Anggota kemudian mengacukan senjata api bagi mempertahankan diri sebelum kedua-duanya melarikan diri.
Seorang daripada mereka berjaya ditahan selepas dikejar, manakala sebilah sabit turut dirampas.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit lelaki yang ditahan turut menemukan gambar nombor akaun Maybank atas nama seorang wanita yang dipercayai digunakan ejen di Thailand bagi urusan pembayaran.
Siasatan bawah ATIPSOM dan Akta Imigresen
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 berhubung penemuan senjata dalam kejadian tersebut.
PGA kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu dan rangkaian lain yang dipercayai terlibat dalam membawa masuk warga asing secara haram melalui sempadan Malaysia-Thailand.
Foto : PGA









