KUALA LUMPUR – Rumah yang dijadikan pusat tuisyen kini menjadi tumpuan siasatan polis selepas lima laporan dibuat berhubung dakwaan amang seksual dan persetubuhan luar tabii melibatkan pelajar lelaki.
Seorang guru tuisyen telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perbuatan yang disyaki itu dipercayai berlaku di rumah suspek sendiri.
Polis menerima laporan pertama pada 6 Oktober, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober dan tiga lagi laporan pada 11 Oktober. Mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan remaja lelaki.
Menurut Fadil, polis telah mengambil keterangan daripada mangsa serta ahli keluarga mereka. Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut memberikan kerjasama dalam siasatan.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Siasatan masih diteruskan dan dakwaan terhadap suspek belum diputuskan oleh mahkamah.
Foto : BERNAMA









