Rakyat Sokong Anwar Pacu Negara Jadi 12 Ekonomi Paling Berdaya Saing Di Dunia
KUALA LUMPUR – Rakyat, khususnya pengundi di Negeri Sembilan, disaran memberi sokongan kepada agenda pembangunan dan reformasi ekonomi yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk sasaran menjadikan Malaysia antara 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh berkata, pencapaian tersebut wajar diberi sokongan kerana mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, berbanding persaingan politik yang lebih tertumpu kepada perebutan kuasa berasaskan sentimen perkauman.
Menurutnya, peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026 membuktikan negara berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran tersebut.
“Dalam PRN Negeri Sembilan, rakyat seharusnya menilai setiap parti berdasarkan prestasi, kestabilan, keupayaan mengurus ekonomi serta dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Shahar Abdullah dilaporkan berkata, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia.
Beliau berkata, keyakinan itu disokong oleh peningkatan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 terbitan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), daripada tangga ke-23 pada tahun lalu kepada kedudukan ke-15 tahun ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, politik berteraskan pembangunan dan pencapaian perlu menjadi keutamaan berbanding persaingan yang hanya berasaskan sentimen perkauman atau perebutan kuasa.
Katanya, sokongan rakyat juga harus diterjemahkan kepada usaha memperkukuh reformasi ekonomi, meningkatkan daya saing negara, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta mempertingkatkan pendapatan rakyat.
“Pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar kedudukan dalam ranking dunia, tetapi sejauh mana pencapaian itu dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.
