Home / Teknologi & Digital / PROJEK KABEL DASAR LAUT RM2.7 BILION, TM DIPILIH HUBUNGKAN SEMENANJUNG, SABAH DAN SARAWAK

PROJEK KABEL DASAR LAUT RM2.7 BILION, TM DIPILIH HUBUNGKAN SEMENANJUNG, SABAH DAN SARAWAK

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menetapkan TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM) sebagai pelaksana projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion bagi memperkukuhkan jaringan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Projek yang dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu melibatkan pembinaan sistem kabel dasar laut sepanjang kira-kira 5,500 kilometer dengan 10 stesen pendaratan baharu di seluruh negara.

Menurut MCMC, pelaksanaan SALAM penting memandangkan kapasiti penggunaan kabel dasar laut sedia ada yang beroperasi sejak 2017 kini mencecah sekitar 85 peratus.

Selain meningkatkan kestabilan internet, sistem baharu ini turut menyediakan laluan alternatif bagi trafik data sekiranya kabel sedia ada mengalami kerosakan atau gangguan.

Projek berkenaan akan menggunakan teknologi Alcatel Submarine Networks (ASN) dan dijangka menyokong peluasan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan pusat data.

Empat pasangan gentian optik juga akan dikhususkan bagi keperluan strategik negara, termasuk infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber.

Pelaksanaan SALAM dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.

Pengumuman itu turut menyusuli pertukaran memorandum persefahaman antara TM dan ASN yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *