JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya berundur secara terhormat susulan dakwaan kecuaian dan ketidakcermatan dalam mengendalikan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pihaknya kecewa dengan cara Peguam Negara menguruskan perkara tersebut yang didakwa memberi gambaran seolah-olah wujud usaha mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 18 September lalu.
Menurut beliau, kenyataan Istana Negara pada 7 November membuktikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah melaksanakan tanggungjawab Baginda selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menyifatkan tindakan Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berasingan pada tarikh sama bagi menjelaskan kedudukan sebenar sebagai sesuatu yang menunjukkan ketidakcermatan dalam pengendalian isu berkenaan.
Sehubungan itu, Noor Azleen menggesa Peguam Negara mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatannya. Katanya, laporan polis juga telah dibuat terhadap Peguam Negara dan pengunduran itu dilihat lebih wajar bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus serta berintegriti.
Isu tersebut tercetus susulan pelaksanaan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kedudukan undang-undang perintah berkenaan.









