Home / Malaysia / PEKERJA BUKAN ISLAM JADI TUKANG SEMBELIH, SINDIKET KUTIP UNTUNG RM10,000 SEHARI

PEKERJA BUKAN ISLAM JADI TUKANG SEMBELIH, SINDIKET KUTIP UNTUNG RM10,000 SEHARI

KUALA LUMPUR – Sindiket penyembelihan haram yang menggunakan khidmat pekerja bukan beragama Islam terbongkar selepas lapan premis di lima negeri diserbu menerusi Op Salju, dengan kegiatan itu dipercayai mampu menjana keuntungan sehingga RM10,000 sehari.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, empat daripada lapan premis yang diserbu menggunakan pekerja bukan Islam untuk melakukan aktiviti penyembelihan, manakala empat lagi menggunakan pekerja beragama Islam.

Siasatan mendapati sindiket berkenaan beroperasi secara tersembunyi sejak 2022 hingga 2026 dengan menggajikan 55 pekerja yang menerima upah antara RM50 hingga RM200 sehari.

Premis terbabit turut disyaki menggunakan kaedah penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak, termasuk penggunaan renjatan elektrik sebelum haiwan disembelih serta kaedah memotong kepala ayam tanpa melalui proses sembelihan sebenar.

Operasi bersepadu yang dijalankan dari 9 hingga 22 November itu melibatkan 745 anggota daripada 10 agensi penguatkuasaan di 13 negeri.

Hasil operasi, seramai 96 individu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah 15 akta berbeza, manakala nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2.44 juta.

Pihak berkuasa turut memberi jaminan bahawa rangkaian pengedaran sindiket berkenaan telah diputuskan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan kegiatan sama tidak berulang.

Sumber/ Foto : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *