NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

PAS Nilai Semula Kerjasama Dengan BERSATU – Hadi

MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa menjejaskan semangat setiakawan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa tindakan BERSATU disifatkan kurang menyenangkan PAS sebagai rakan komponen dalam PN.

Menurut beliau, antara isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati ialah tindakan BERSATU memecat beberapa EXCO kerajaan negeri Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi daripada kalangan pemimpin parti itu sendiri.

“Pertukaran atau pemecatan ahli tidak boleh dilakukan sesuka hati, sebaliknya perlu berdasarkan alasan kukuh yang benar-benar memberi kesan kepada prestasi parti,” katanya pada sidang media hari ini.

Abdul Hadi turut mendakwa BERSATU tidak bersetuju dengan usaha memperluaskan penyertaan parti Melayu-Islam dalam PN.

“Kita mahu memperbesarkan lagi PN dengan penyertaan lebih banyak parti Melayu-Islam, tetapi BERSATU menolak perkara itu. Ini tentunya tidak menyenangkan kita,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Negeri Sembilan yang menarik semula akuan bersumpah (SD) berkaitan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Menurut beliau, tindakan tersebut bertentangan dengan semangat setiakawan dalam gabungan PN.

“Jika UMNO yang mempunyai 14 kerusi DUN tidak menarik balik sokongan, mengapa dua ADUN BERSATU bertindak sebaliknya,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS kini sedang meneliti setiap tindakan BERSATU sebelum membuat keputusan lanjut terutama jika perkara itu boleh memberi kesan kepada prestasi PN pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kita akan kaji satu persatu tindakan mereka dan jika ia menjejaskan PN, PAS akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut mengakui PAS sebelum ini beberapa kali mengambil pendekatan bersabar termasuk dalam isu melibatkan Perlis, namun menegaskan setiap kesabaran mempunyai batas.

Menurutnya, PAS juga mendapati pada beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu, BERSATU hanya menuntut kuota calon tetapi tidak mempunyai kekuatan jentera mencukupi di lapangan.

“Mereka ada calon tetapi jumlah petugas terlalu sedikit, akhirnya jentera PAS yang bekerja sepenuhnya,” katanya.

Abdul Hadi memaklumkan PAS sudah menghantar surat rasmi kepada BERSATU pada 9 Mei lalu selain mengadakan perbincangan secara bersemuka dalam mesyuarat PN.

Beliau berkata, walaupun tiada tempoh akhir ditetapkan untuk menerima maklum balas daripada BERSATU, perkara itu kini sedang diperhalusi oleh Majlis Syura Ulama, Lajnah Pilihan Raya serta bahagian penyelidikan PAS.

Mengulas sama ada kemelut itu boleh menjejaskan prestasi PN pada pilihan raya akan datang, Abdul Hadi yakin kekuatan PAS kekal utuh dan parti itu bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“PAS merupakan penggerak utama PN dan kita mempunyai hak menentukan hala tuju gabungan dalam pilihan raya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *