KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berjaya memperoleh RM180,000 hasil penjualan motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya selepas bidaan dibuka selama tiga hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memaklumkan motosikal berkenaan dibeli rakannya pada harga RM150,000, manakala hasil jualan ikan tilapia pula mencecah hampir RM30,000.
Menurut Akmal, jumlah itu bersama simpanan miliknya dan keluarga dijangka mencukupi untuk mencapai sasaran RM300,000 menjelang minggu hadapan bagi menjelaskan ganti rugi serta kos mahkamah.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan beliau membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, selain mengeluarkan injunksi yang menghalangnya daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap ahli politik itu pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Akmal memaklumkan jumlah sumbangan orang ramai yang diterimanya mencecah RM173,733.61. Beliau meminta izin penyumbang untuk menginfakkan wang berkenaan kepada golongan yang lebih memerlukan dan berjanji akan memaklumkan perincian pengagihannya menerusi media sosial.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak lagi memasukkan wang ke akaunnya bagi membolehkan proses pengagihan sumbangan berjalan lancar.









