KUALA LUMPUR – Pentadbiran Istana Selangor menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes individu yang didakwa menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor bagi memperdaya orang awam.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada 19 Oktober, individu berkenaan dipercayai menggunakan nama dan kedudukan istana untuk meyakinkan orang awam dalam urusan penjualan tanah serta kereta mewah, dengan tujuan meraih keuntungan peribadi.
Pentadbiran istana memandang serius perkara itu dan menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat sekiranya terdapat salah laku.
Orang ramai turut diminta membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana sekiranya berdepan sebarang urusan yang mengaitkan seseorang dengan nama atau kedudukan istana.
Kes ini kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut yang menyeluruh, adil dan telus.
Sumber : BERNAMA









