ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Maszlee Rasai Sendiri Jalan ‘Melambung’ Tebrau-Ulu Tiram dengan Myvi

JOHOR BAHRU: Bukan sekadar mendengar keluhan di media sosial, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik turun sendiri merasai keadaan jalan yang sering dibangkitkan penduduk.

Bekas Menteri Pendidikan itu menyahut cabaran netizen dengan memandu sendiri sebuah Perodua Myvi dari Kampung Melayu Tebrau menuju ke Ulu Tiram bagi merasai pengalaman melalui laluan beralun, tidak sekata dan sesak terutama pada waktu puncak.

Maszlee berkata, perjalanan itu bermula dari Petron Kampung Melayu sebelum melalui Pandan, Kangkar Tebrau dan seterusnya ke Ulu Tiram, sebelum berpatah balik ke arah bandar.

Menurut beliau, pengalaman tersebut membolehkannya memahami sendiri rungutan penduduk yang mendakwa kenderaan sering ‘melambung’ ketika melalui beberapa laluan di kawasan berkenaan.

“Memang betul apa yang mereka katakan. Rasanya seperti menaiki bot, beralun-alun dan terhentak-terhentak akibat keadaan jalan,” katanya.

Maszlee berkata, isu jalan raya dan kesesakan trafik di kawasan sekitar Tebrau, Taman Daya, Taman Pelangi Indah serta Ulu Tiram bukan perkara kecil kerana ia memberi kesan kepada rutin harian penduduk.

Katanya, pembangunan pesat di kawasan berkenaan perlu diseimbangkan dengan penambahbaikan kapasiti jalan raya serta perancangan bandar yang lebih tersusun.

Beliau turut berpandangan masalah tersebut boleh diselesaikan sekiranya wujud kerjasama erat antara pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), perancang bandar, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

“Perkara ini boleh diperbaiki, tetapi ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Maszlee berkata, sekiranya diberi mandat, beliau mahu menjadikan suara penduduk sebagai asas utama sebelum menentukan keutamaan penyelesaian.

Bagi beliau, isu infrastruktur seperti jalan beralun, kesesakan dan pembangunan tidak seimbang perlu ditangani melalui perancangan jangka panjang, bukan sekadar janji bermusim.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan, Rashifa Aljunied mewakili MUDA, Teow Chia Ling mewakili Barisan Nasional, Nicholas Paul Vincent mewakili Parti Bersama Malaysia dan calon Bebas, Wang Wee Siong.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *