Kerajaan Tubuhkan Jawatankuasa Khas Tangani Jenayah Penipuan Dalam Talian
KUALA LUMPUR – Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas bagi memperkukuh usaha menangani jenayah penipuan dalam talian (scam), kata Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata jawatankuasa itu ditubuhkan pada 18 Jun hasil satu sesi pemukiman yang membincangkan peningkatan kes penipuan dalam talian serta langkah-langkah bagi menanganinya secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkaitan.
“Buat pertama kalinya, sektor perbankan, syarikat telekomunikasi serta platform utama termasuk media sosial turut akan dilibatkan dalam jawatankuasa ini,” katanya pada sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, pada Rabu.
Fahmi berkata penubuhan jawatankuasa itu merupakan pendekatan proaktif kerajaan bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan, perundangan dan siasatan dalam menangani jenayah penipuan dalam talian.
Beliau berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna ketika menggunakan platform digital.
“Ini adalah usaha kerajaan untuk mengenal pasti isu yang dihadapi dan menyelaras tindakan daripada aspek penguatkuasaan, perundangan serta siasatan supaya rakyat dapat menggunakan platform digital dengan lebih selamat,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan menjangkakan beberapa perkembangan positif dapat dicapai dalam tempoh terdekat hasil penyelarasan menerusi jawatankuasa berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak dapat memperincikan strategi yang sedang dirangka bagi mengelakkan maklumat tersebut dimanfaatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita menjangkakan beberapa perkara dapat diselesaikan dalam masa yang tidak terlalu lama. Namun saya tidak boleh berkongsi terlalu banyak kerana mungkin ada juga pihak yang terlibat dengan kegiatan scam mengikuti perkembangan ini,” katanya.
Menurut Fahmi, pendekatan merentas agensi seperti itu pernah dilaksanakan sebelum ini dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan menerusi beberapa operasi khas.
Beliau berkata kerajaan berharap penubuhan jawatankuasa kerja itu akan membolehkan tindakan yang lebih pantas, tegas dan berkesan diambil terhadap kegiatan penipuan dalam talian.
