Jika PH diberi mandat tadbir Johor, kita pastikan rakyat tidak beratur panjang untuk dapatkan bantuan kerajaan’ – Maszlee Malik
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menambah baik sistem penyaluran bantuan kepada rakyat di Johor sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan lebih cekap tanpa memaksa rakyat beratur panjang untuk menerimanya.

Menurut beliau, rakyat berhak menerima layanan yang lebih baik dan bermaruah ketika mendapatkan bantuan, termasuk melalui kaedah penyaluran terus ke akaun penerima.
“Kita tidak mahu rakyat terpaksa beratur panjang di bawah cuaca panas semata-mata untuk mendapatkan bantuan kerajaan. Mereka mempunyai maruah dan perlu dihormati.
“Jika PH diberi mandat mentadbir Johor, kita akan memastikan bantuan disalurkan secara terus ke akaun penerima supaya prosesnya lebih mudah, cepat dan tersusun,” katanya ketika ditemui media selepas sesi berkempen di sekitar Taman Setia Indah, hari ini.
Maszlee turut mendakwa terdapat bantuan yang dijanjikan sebelum ini tidak disalurkan seperti yang diharapkan, sekali gus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penerima.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, pelbagai aduan diterima daripada penduduk melibatkan isu setempat yang memerlukan penyelesaian segera.
Menurutnya, terdapat masalah yang boleh diselesaikan di peringkat tempatan, manakala sebahagiannya memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, termasuk isu berkaitan pembangunan infrastruktur serta penyelenggaraan jalan.
Beliau berkata hubungan yang baik antara kedua-dua pentadbiran akan memudahkan proses penyelarasan dan mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat.
Mengulas perjalanan kempen, Maszlee berkata beliau akan terus turun padang bertemu pengundi tanpa mengira sama ada sesuatu kawasan itu dianggap kubu kuat mana-mana parti atau sebaliknya.
Katanya, keutamaan PH ketika ini adalah mendengar sendiri keluhan rakyat serta mengajak pengundi, termasuk mereka yang berada di luar Johor seperti di Kuala Lumpur dan Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Maszlee mewakili PH, Teow Chia Ling(Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (BERSAMA), Wang Wee Siong (Bebas) dan Rashifa Aljunied (MUDA).
