ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Jerebu: Malaysia Sedia Gerakkan Aset Bantu Indonesia Padam Kebakaran Hutan

PUTRAJAYA – Malaysia bersedia menggerakkan aset bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, namun masih menunggu pengesahan dan kebenaran daripada negara berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar (Wisma Putra) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai kesediaan Malaysia menawarkan aset bagi membantu operasi berkenaan.

“Pihak NADMA dan juga Wisma Putra ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa senarai aset-aset yang mampu kita sediakan untuk membantu negara jiran sudah disampaikan (dimaklumkan kepada negara jiran).

“Tapi sehingga sekarang belum ada pengesahan mengenai apa-apa bentuk kerjasama untuk menggunakan aset dari Malaysia untuk membantu memadam kebakaran dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Fahmi berkata Malaysia kini masih menunggu perkembangan lanjut sebelum sebarang aset negara dapat digerakkan bagi membantu operasi pemadaman kebakaran di Indonesia.

“Setakat ini kita sudah panjangkan melalui kedutaan, melalui Wisma Putra dan pihak NADMA juga sudah menyediakan (senarai aset), tapi belum ada pengesahan dan kebenaran untuk menggunakan aset-aset Malaysia,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata mekanisme ASEAN sedia ada bagi menangani isu jerebu rentas sempadan perlu ditambah baik bagi memastikan masalah itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Anwar berkata perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh menteri berkaitan di peringkat ASEAN memandangkan jerebu memberi kesan terhadap kehidupan manusia, khususnya kanak-kanak dan bayi.

Beliau berkata isu pembakaran terbuka di Indonesia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengenal pasti punca sebenar sebelum sebarang tuduhan dilemparkan terhadap pihak tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *