Jaslinda Maklum Tiada Unsur Mistik, Gangguan Ketika Dalam Hutan – Exco Perak
TAPAH – Pendaki wanita yang ditemui selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan hutan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, menafikan dakwaan kononnya beliau mengalami gangguan mistik atau kejadian luar biasa sepanjang tempoh berada di dalam hutan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Jaslinda ketika menerima kunjungan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi serta Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan di Hospital Tapah, semalam.

Mohd Azlan berkata, Jaslinda berada dalam keadaan stabil, ceria dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.
Menurut beliau, wanita itu menjelaskan bahawa sepanjang berada di dalam hutan, tiada sebarang kejadian berunsur mistik berlaku seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Beliau memaklumkan hanya bergantung kepada sumber air untuk meneruskan kelangsungan hidup dan dapat berehat dengan baik tanpa mengalami sebarang gangguan luar biasa,” katanya.
Tambah Mohd Azlan, Jaslinda turut membawa wisel dan sering meniupnya bagi menarik perhatian pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, walaupun wanita itu ada mendengar bunyi helikopter yang terlibat dalam operasi pencarian, beliau tidak dapat melihatnya kerana keadaan hutan yang tebal.
“Beliau juga ada menemui nota yang ditinggalkan pasukan SAR, namun ketika itu berada di laluan yang berbeza daripada kawasan pencarian,” katanya.
Mengulas dakwaan tular bahawa Jaslinda hidup dengan memakan cendawan yang ditemui di dalam hutan, Mohd Azlan menegaskan perkara itu tidak benar.
Menurutnya, Jaslinda mengakui ada mengutip cendawan dengan niat untuk dibawa pulang, namun tidak memakannya selepas dimaklumkan oleh masyarakat Orang Asli bahawa cendawan berkenaan beracun.
Beliau turut menjelaskan bahawa botol air dan beberapa barangan makanan yang dikaitkan dengan Jaslinda menerusi hantaran di media sosial bukan milik wanita itu.
“Beliau mengesahkan tidak memakan cendawan tersebut dan juga tidak menjamah makanan selama beberapa hari ketika berada di dalam hutan.
“Semua barangan peribadinya pula masih berada bersamanya sepanjang tempoh kehilangan itu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pemberian insentif kepada pasukan SAR termasuk komuniti Orang Asli yang membantu operasi pencarian, Mohd Azlan berkata perkara tersebut belum dibincangkan secara rasmi.
Katanya, cadangan itu mungkin akan dibawa untuk pertimbangan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
