Home / Terkini / Anak Pergi Sekolah Seperti Biasa, Bapa Luluh Hati Damiya Pergi Buat Selama-lamanya

Anak Pergi Sekolah Seperti Biasa, Bapa Luluh Hati Damiya Pergi Buat Selama-lamanya

SEPANG – Seorang bapa tidak menyangka anak perempuan kesayangannya yang dihantar ke sekolah seperti biasa akhirnya pergi buat selama-lamanya selepas mengalami masalah pernafasan di sekolah, pagi semalam.

Meor Shahriza Meor Zakaria, 48, berkata beliau bergegas ke sekolah sebaik dimaklumkan anaknya, Derma Damiya Nur Mikayla, mengalami kesukaran bernafas. Sebaik tiba, beliau mendapati anaknya terbaring tidak sedarkan diri di koridor tingkat dua.

Dalam keadaan cemas, beliau cuba membantu dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun tiada tindak balas diterima. Kira-kira 15 minit kemudian, ambulans tiba untuk memberikan bantuan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, mangsa menerima bantuan awal pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya. Bagaimanapun, Damiya disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan.

Bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung kejadian itu.

Pemergian Damiya meninggalkan kesedihan buat keluarganya, terutama bapanya yang berusaha memberikan bantuan sebaik tiba di sekolah. Dalam masa sama, orang ramai diminta menghormati keluarga mangsa dan menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa.

Sumber/ Foto : Berita Harian

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *