SUNGAI BULOH – Seorang bayi lelaki berusia lima bulan mengalami kecederaan parah di bahagian muka selepas diserang seekor monyet liar yang dipercayai memasuki rumah keluarganya di Kampung Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada Ahad malam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.18 malam ketika ibu mangsa berada di dapur, manakala bayi berkenaan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ibu mangsa terdengar jeritan sebelum menyedari seekor monyet berada berhampiran bayinya.
Haiwan liar itu dipercayai memasuki kediaman melalui tingkap yang terbuka sebelum melarikan diri menggunakan laluan sama.
Akibat serangan tersebut, bayi berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.44 malam. Kes berkenaan kemudian diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, termasuk memastikan tingkap dan laluan masuk rumah berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Sumber : Sinar Harian









