KALAU dahulu kegiatan mencuri kabel sering dikaitkan dengan perbuatan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi, kini situasinya seolah-olah semakin berani. Siang hari, kawasan terbuka, malah di hadapan orang ramai.
Itulah yang mencetuskan perhatian selepas sebuah video tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan individu dipercayai mencuri kabel di kawasan Jalan Tun Razak, berhampiran TREC, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih mengejutkan, individu terbabit dilihat menggunakan dua buah kenderaan untuk menjalankan kegiatan tersebut sebelum melarikan diri apabila dihampiri orang awam. Rakaman lain yang tular turut mengundang persoalan apabila seorang pengawal keselamatan dilihat berada berhampiran lokasi kejadian tanpa sebarang tindakan yang kelihatan.
Namun, di sebalik video yang mengundang kemarahan itu, ada persoalan lebih besar yang perlu diberikan perhatian. Mengapa kegiatan mencuri kabel masih berulang, dan siapa sebenarnya yang menjadikan kegiatan ini terus menguntungkan?
1. Apa tindakan pihak berkuasa?
Susulan kejadian tersebut, Polis Kuala Lumpur mengesahkan pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat turut diminta membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.
Namun, persoalannya bukan sekadar berapa cepat suspek dapat dikenal pasti atau ditahan. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana siasatan mampu menjejaki keseluruhan rangkaian di sebalik kegiatan tersebut.
Jika hanya individu yang memotong kabel berjaya ditangkap, sedangkan pihak yang menerima dan menjual hasil curian tidak dikenal pasti, masalah ini berpotensi akan tetap terus berulang.
2. Hukuman terlalu ringan atau penguatkuasaan tidak berkesan?
Setiap kali kes kecurian kabel tular, antara reaksi yang sering muncul ialah hukuman yang dianggap tidak setimpal dengan kerugian yang ditanggung.
Pada Januari 2026, pihak Prasarana pernah membangkitkan bahawa sebahagian suspek kecurian kabel hanya berdepan pertuduhan menceroboh yang membawa hukuman lebih ringan berbanding kesalahan mencuri.
Malah, kerajaan telah mengumumkan usaha meminda undang-undang bagi memperketatkan lagi hukuman terhadap kegiatan kecurian kabel, termasuk cadangan meningkatkan tempoh pemenjaraan dan penalti.
Tetapi adakah hukuman lebih berat sahaja mampu menyelesaikan masalah ini?
Undang-undang yang tegas tidak akan membawa perubahan besar jika pengesanan, siasatan dan pendakwaan tidak dilaksanakan dengan berkesan. Pada masa sama, pertuduhan juga perlu mengambil kira bukti dan peranan sebenar setiap individu yang terlibat.
Kita bukan sekadar memerlukan hukuman yang lebih berat, tetapi sistem penguatkuasaan yang mampu memastikan pelaku tidak mudah terlepas daripada tindakan undang-undang.
3. Siapa sebenarnya pembeli kabel curi?
Ini mungkin persoalan paling penting yang sering terlepas daripada perhatian.
Kabel yang dicuri bukanlah sesuatu yang boleh terus digunakan atau dijual begitu sahaja. Ia perlu melalui proses tertentu sebelum bahan seperti tembaga boleh dipasarkan semula.
Jadi, siapa yang sanggup menerima kabel daripada sumber yang meragukan?
Pihak berkuasa bukan sahaja perlu menjejaki pencuri, malah perlu memberi perhatian kepada pembeli, pengumpul dan pengusaha premis besi buruk yang mungkin menjadi sebahagian daripada rantaian penjualan barangan curi.
Di Malaysia, urusan perdagangan barangan terpakai tertakluk kepada Akta Peniaga Sekendhend 1946 yang menetapkan keperluan pelesenan dan syarat tertentu. Malah, laporan mengenai industri besi buruk turut menjelaskan bahawa pembelian bahan seperti tembaga memerlukan lesen berkaitan.
Persoalannya, sejauh mana pemantauan terhadap urus niaga ini dilaksanakan?
Rekod identiti penjual, sumber barangan, butiran transaksi dan pemeriksaan berkala boleh menjadi antara langkah untuk mengurangkan ruang penjualan kabel curi. Premis yang berlesen juga perlu dipastikan tidak menjadi tempat untuk menyamarkan sumber barangan yang diperoleh secara haram.
Jika rantaian pembelian berjaya diputuskan, kegiatan mencuri kabel mungkin tidak lagi memberikan pulangan seperti yang diharapkan.
4. Kes berulang, adakah kecurian kabel sudah menjadi perniagaan sindiket?
Melihat kepada kekerapan kes yang dilaporkan, sukar untuk menganggap kecurian kabel sebagai masalah terpencil.
Di Selangor sahaja, Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan 439 kes kecurian kabel antara 2023 hingga 30 September 2026, dengan jumlah kerugian mencecah RM62.7 juta.
Angka ini menunjukkan bahawa masalah tersebut bukan sekadar melibatkan beberapa individu yang mengambil kesempatan, sebaliknya sudah memberi kesan kewangan besar kepada pengendali infrastruktur.
Apabila kegiatan sama berlaku berulang kali, menggunakan kenderaan dan peralatan tertentu serta melibatkan penjualan semula bahan curi, timbul persoalan sama ada terdapat rangkaian yang menggerakkan kegiatan ini secara tersusun.
Namun, kewujudan sindiket dalam setiap kes tetap perlu dibuktikan melalui siasatan.
Apa yang jelas, kesannya bukan hanya ditanggung oleh syarikat utiliti. Apabila kabel infrastruktur awam dicuri, pengguna juga berdepan risiko gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan dan masalah keselamatan.
Akhirnya, isu kecurian kabel tidak sepatutnya berakhir dengan penahanan beberapa individu atau sekadar tindakan selepas video tular.
Selagi permintaan terhadap bahan curi masih wujud dan ruang penguatkuasaan masih boleh dieksploitasi, kegiatan ini berisiko terus berulang.
Kalau pencuri boleh terus mencuri kerana ada pihak yang sanggup membeli, mengapa tindakan selama ini lebih tertumpu kepada mereka yang memotong kabel, sedangkan pihak yang membeli dan mengaut keuntungan juga perlu dipersoalkan?









