KUALA LUMPUR – Seramai 420,879 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 mula menduduki peperiksaan bertulis hari ini, 23 November 2026, berlangsung sehingga 17 Disember depan.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peperiksaan itu melibatkan 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Fasa peperiksaan bertulis dimulakan dengan Ujian Mendengar Bahasa Melayu pada hari ini, manakala Ujian Mendengar Bahasa Inggeris dijadualkan berlangsung esok, 24 November.
Sebelum ini, calon telah melalui beberapa komponen peperiksaan termasuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 26 hingga 29 Oktober, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 2 hingga 5 November serta Ujian Amali Sains pada 16 hingga 18 November.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menasihatkan semua calon supaya kekal tenang, mendapatkan rehat secukupnya dan tidak memberikan tekanan berlebihan kepada diri sendiri ketika menghadapi peperiksaan.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan guru agar terus memberikan sokongan moral serta mendoakan kejayaan calon.
KPM berharap semua calon dapat menjalani peperiksaan dengan lancar dan memberikan prestasi terbaik berdasarkan persediaan masing-masing.









