CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru orang ramai supaya mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal atau Early Warning System (EWS).
Sistem amaran kecemasan negara itu sedang dilaksanakan secara berfasa dan dibangunkan bagi membolehkan amaran dihantar dengan lebih pantas kepada pengguna yang berada di kawasan tertentu apabila berlaku situasi kecemasan atau bencana.

Tak perlu muat turun aplikasi
EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang telah dikenal pasti.
Pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khas untuk menerima amaran tersebut.
iPhone 11 ke atas antara syarat minimum
Sebagai panduan awal, MCMC menetapkan beberapa keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan EWS, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
Bagi pengguna Apple, sistem itu memerlukan iPhone 11 atau model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau versi terkini.
Pengguna Android pula memerlukan telefon dengan Android 12 atau versi lebih terkini, manakala pengguna Huawei memerlukan EMUI 16 atau versi terkini.
Pengguna disaran semak tetapan amaran kecemasan
Selain menaik taraf sistem operasi, pengguna turut disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing.
Selepas proses kemas kini selesai, pengguna digalakkan memulakan semula telefon dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan jika fungsi itu tersedia pada peranti.
Ujian teknikal sedang dijalankan
MCMC pada 19 November turut mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media bagi memperkenalkan EWS dan menerangkan mekanisme penyampaian amaran.
Sesi itu turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya.
MCMC menjelaskan ujian berkenaan masih berada di peringkat dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem.
Ujian pada skala lebih luas akan dilaksanakan secara berfasa selepas proses teknikal selesai.
Libatkan NADMA dan syarikat telekomunikasi
Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Kerjasama itu bertujuan memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan secara lebih pantas dan bersasar kepada masyarakat yang berada di kawasan terjejas.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
EWS akan melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana.









