Home / Sukan / Lewis Hamilton Lawat Sempadan Rafah, Lihat Sendiri Usaha Bantuan Kemanusiaan ke Gaza

Lewis Hamilton Lawat Sempadan Rafah, Lihat Sendiri Usaha Bantuan Kemanusiaan ke Gaza

RAFAH – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton mengadakan lawatan ke sempadan Rafah di Mesir bagi melihat sendiri usaha penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Pemandu Ferrari berusia 41 tahun itu turut mengunjungi gudang logistik Bulan Sabit Merah Mesir di bandar El-Arish bagi mendapatkan penerangan mengenai proses penyediaan, penyelarasan dan penghantaran bekalan bantuan ke wilayah berkenaan.

Menurut Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada Hamilton mengenai peranan Mesir dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.

Ketika berada di lokasi, Hamilton dilihat menyapa petugas bantuan dengan ucapan “Assalamu alaikum” sebelum beramah mesra dan bertukar kata dengan beberapa petugas serta pegawai yang bertugas.

Lawatan itu berlangsung ketika penghantaran bantuan ke Gaza masih berdepan pelbagai kekangan, meskipun perjanjian gencatan senjata yang dicapai tahun lalu telah menghentikan operasi ketenteraan berskala besar.

Hamilton sebelum ini turut menyuarakan sokongan terhadap usaha keamanan dan gencatan senjata, selain menggunakan platformnya untuk mengetengahkan penderitaan kanak-kanak yang terjejas akibat konflik.

Lawatan berkenaan hadir selepas Hamilton mencatat penampilan ke-400 dalam perlumbaan F1 ketika Grand Prix Brazil di Sao Paulo, Ahad lalu.

Sumber : Reuters

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *