Home / Hiburan / Pelawak Britain Russell Brand Dipenjara 10 Tahun Enam Bulan Atas Kes Rogol dan Serangan Seksual

Pelawak Britain Russell Brand Dipenjara 10 Tahun Enam Bulan Atas Kes Rogol dan Serangan Seksual

LONDON – Pelawak dan pelakon Britain, Russell Brand, 51, dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun enam bulan selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rogol dan tiga kesalahan serangan seksual melibatkan empat wanita antara 2004 hingga 2009.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Southwark Crown di London pada Isnin selepas perbicaraan selama empat minggu.

Sebelum ini, juri mendapati Brand bersalah merogol seorang peminat wanita berusia 21 tahun pada 2009 serta melakukan serangan seksual terhadap tiga wanita lain yang bekerja dalam industri penyiaran dan hiburan.

Bagaimanapun, beliau dilepaskan daripada dua lagi pertuduhan rogol dan satu pertuduhan cubaan melakukan serangan tidak senonoh.

Menurut laporan mahkamah, Brand dijangka menjalani dua pertiga daripada tempoh hukumannya di penjara sebelum layak dibebaskan secara bersyarat. Beliau juga akan didaftarkan sebagai pesalah seks sepanjang hayat.

Hakim Joel Bennathan ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan Brand sebagai pemangsa seksual yang menggunakan pengaruh dan kedudukannya dalam industri hiburan.

Brand sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan mendakwa hubungan seksual yang berlaku adalah atas dasar persetujuan bersama.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Metropolitan London memaklumkan siasatan turut dijalankan terhadap dua lagi dakwaan rogol yang melibatkan Brand.

Sumber : Reuters

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *