Home / Malaysia / Mangsa Banjir Selangor Terima Bantuan Tambahan RM2,500, Pembayaran Bermula 10 November

Mangsa Banjir Selangor Terima Bantuan Tambahan RM2,500, Pembayaran Bermula 10 November

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan bantuan tunai tambahan khas sebanyak RM2,500 secara sekali bayar kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir yang layak di Selangor, dengan pembayaran dijangka bermula Selasa, 10 November.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga yang terjejas, khususnya bagi menggantikan barangan keperluan rumah yang rosak atau musnah akibat banjir.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), kaedah pelaksanaan serta syarat kelayakan terperinci akan diumumkan oleh agensi pelaksana dalam masa terdekat.

Anwar menjelaskan bantuan tambahan itu diberikan susulan keadaan banjir yang berlarutan serta mengambil kira kerosakan besar dan tempoh pemindahan yang panjang dialami sesetengah keluarga.

Bantuan RM2,500 tersebut merupakan tambahan kepada Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya pelaksanaan projek tebatan banjir dipercepatkan bagi menangani kejadian banjir berulang, khususnya di kawasan berisiko.

Pengumuman itu dibuat selepas Anwar melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Jeram, yang ketika itu menempatkan 154 mangsa daripada 36 keluarga.

Sumber : BERNAMA
Foto : FB Anwar Ibrahim

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *