KOTA BHARU – Seorang guru yang bertugas sebagai warden asrama di sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun.
Tertuduh, Mohd Faiz Rohizat, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, kejadian pertama didakwa berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada April 2025, manakala kejadian kedua sekitar jam 4 petang pada September tahun sama. Kedua-duanya didakwa berlaku di dalam bilik warden asrama sekolah berkenaan.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14(b), manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad.
Pihak pendakwaan sebelum itu tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius. Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan mengambil kira tanggungjawab tertuduh terhadap isteri, anak berusia tiga tahun serta ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Antara syarat yang ditetapkan termasuk mengemukakan alamat kediaman tetap, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Disember depan. Tertuduh turut dilaporkan telah menjelaskan wang jaminan tersebut.
Sumber/ Foto : Sinar Harian









