KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari pada 6 dan 7 November 2026 sempena sambutan Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, potongan tol itu bermula pada jam 12 tengah malam Jumaat hingga 11.59 malam Sabtu bagi membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga.
Pelaksanaan inisiatif itu melibatkan anggaran bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya, yang akan ditanggung oleh kerajaan tertakluk kepada pengesahan data trafik sebenar.
Diskaun berkenaan diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol seluruh negara serta kenderaan Kelas 2 yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, potongan tersebut tidak melibatkan Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan diskaun bersama syarikat konsesi bagi memastikan pengguna yang layak menerima manfaat berkenaan.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi serta mematuhi had laju dan menjaga jarak selamat ketika memandu.
Pengguna turut digalakkan menyemak perkembangan trafik dan maklumat insiden menerusi saluran rasmi LLM bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat.
Sumber/ Foto : Metro









