KULAI – Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang keluar memancing berakhir dengan tragedi apabila dia ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam takungan di Jalan Budiman, Kampung Melayu Kulai, pada Rabu.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa memancing seorang diri sebelum dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan I, Awang Adzwan Awang Sahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.17 pagi.
Seramai enam anggota bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi, anggota bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan tali dan pengusung bagi membawa mangsa keluar dari kolam takungan tersebut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kulai untuk tindakan lanjut.









