AMSTERDAM – Bukan sedikit jumlahnya, pihak berkuasa Belanda kini menawarkan ganjaran sebanyak €2 juta (kira-kira RM9.13 juta) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada penangkapan Jos Leijdekkers, individu yang dikaitkan dengan kegiatan penyeludupan kokain antarabangsa.
Leijdekkers, 35, yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Bolle Jos’ atau ‘Jos Gemuk’, dipercayai antara individu penting dalam rangkaian pengedaran kokain antarabangsa. Namanya juga tersenarai dalam senarai individu paling dikehendaki oleh Europol.
Menteri Kehakiman Belanda, David van Weel, berkata ganjaran itu dinaikkan sebanyak 10 kali ganda kerana ancaman yang dibawa Leijdekkers terhadap keselamatan negara serta kedaulatan undang-undang.
Malah, pihak pendakwa raya Belanda menegaskan bahawa usaha mengesan dan menangkap lelaki itu kini menjadi keutamaan tertinggi mereka. Orang ramai yang mempunyai maklumat turut diberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Persoalannya, di manakah Leijdekkers bersembunyi?
Pada Januari 2025, polis Belanda memaklumkan mereka percaya lelaki itu berada di Sierra Leone dan menggunakan identiti baharu, Omar Sherrif. Beberapa gambar yang pernah tersebar turut dikatakan menunjukkan beliau bersama Presiden Sierra Leone, Julius Maada Bio, serta beberapa pegawai kanan negara berkenaan.
Belanda sebelum ini berulang kali meminta supaya Leijdekkers diekstradisi, namun Sierra Leone dilaporkan enggan memberikan kerjasama. Isu itu turut mencetuskan ketegangan sehingga Kesatuan Eropah (EU) mengurangkan sebahagian bantuan kepada negara Afrika Barat berkenaan.
Rekod jenayah Leijdekkers juga bukan kecil. Pada 2024, sebuah mahkamah di Rotterdam menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun terhadapnya secara “in absentia” selepas beliau didapati bersalah menyeludup lebih tujuh tan kokain.
Di Belgium pula, beliau turut dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 79 tahun atas pelbagai kesalahan berkaitan jenayah terancang.
Pihak berkuasa Belanda menganggarkan Leijdekkers memperoleh keuntungan puluhan juta euro daripada kegiatan penyeludupan kokain. Dia juga dituduh terbabit dalam pengubahan wang haram dan menggunakan keganasan melampau untuk melindungi operasi jenayahnya.









