SAARBRUCKEN – Kempen Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Hylo 2026 berakhir di peringkat separuh akhir selepas kedua-dua wakil negara tewas kepada lawan masing-masing di Saarlandhalle, Jerman.
Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pasangan Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, menerusi keputusan 21-18, 15-21, 18-21 dalam perlawanan selama 59 minit.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, turut terkandas selepas akur kepada pilihan kedua kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Pasangan Malaysia itu tewas 20-22, 21-16, 17-21 dalam aksi sengit yang berlangsung selama 70 minit.
Kekalahan tersebut turut memusnahkan peluang Pang Ron-Pei Jing untuk melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut selepas muncul naib juara Terbuka Perancis minggu sebelumnya.
Keputusan itu menyaksikan tiada wakil Malaysia berjaya melangkah ke pentas akhir kejohanan berkenaan.
Sumber: BERNAMA / Astro AWANI









